Monday, March 15, 2010

sehelai daun sekeping hati

Hari ini aku dapat melihat lagi,

Alam semulajadi terbentang indah,

Tanda kebesaran Ilahi…

Hari ini aku masih melihat,

Terbitnya sang suria,

Flora dan fauna memberi salam,

Memberi salam kepada yang Maha Pencipta,

Itulah tanda syukur nikmat kebesaranMu…

Hari ini Ya Allah,

Aku melihat lagi,

Bagaimana hidupan laut berenang beriringan,

Biarpun berlainan spesies,

Bagaimana sang monyet saling bergurau senda di dahan,

Bagaimana hidupan lain sentiasa bersama-sama,

Bersatu menikmati alam ini…

Namun hanya manusia,

Hanya manusia yang tidak boleh bersatu-padu,

Bergaduh dan berperang sahaja,

Tidak perlu kata senegara,

Tidak perlu kata sekampung,

Sedarah juga sanggup saling membunuh…

Hari ini aku melihat lagi,

Sekawan semut mencari rezeki,

Mencipta langkah yang kecil,

Menyusuri perjalanan yang berliku,

Demi untuk meneruskan hidup…

Namun hanya manusia,

Hidup menggoyangkan kaki,

Hanya menadah rezeki datang tanpa usaha…

Hari ini aku masih melihat,

Melihat dengan hati yang sayu,

Seekor koala mendukung anaknya ke mana sahaja,

Tidak sanggup rasanya ditinggalkan anak yang sekecil itu,

Aku terus melihat lagi,

Seekor monyet meriba anaknya,

Ia dibelai,dijaga dengan penuh kasih sayang,

Haiwan juga tahu sayangkan anak...

Namun manusia,

Sanggup membuang anak yang masih kecil,

Yang masih merah,

Masih bertali pusat,

Tegarnya pula bayi itu dibakar…

Mengapa Ya Allah?

Mengapa semua ini harus terjadi?

Di sebalik keindahan alam,

Ada haiwan yang berperikemanusiaan,

Ada manusia yang berperikebinatangan…

Wahai manusia,

Di manakah akalmu?

Di manakah hati sucimu?

Sedarlah wahai hamba Allah,

Hidup hanya sementara,

Hiduplah berpaksikan Allah,

Usahlah berpaksikan syaitan…

Wahai Ya Allah,

Berikanlah kesedaran kepada mereka ini,

Bukalah pintu hati mereka,

Agar mereka menjadikan hidupan lain sebagai contoh…

Wahai manusia,

Aku hanya mampu melihat,

Kerana aku hanya sehelai daun,

Yang berterbangan ditiup angin,

Melihat titik-titik hitam yang berlaku…

Namun manusia,

Aku akan terus melihat,

Terus melihat dengan mata hatiku…

No comments:

Post a Comment